fbpx

About Us

Program Greeniekids adalah dibangunkan khas kepada kanak-kanak yang berumur 3 hingga 6 tahun di TASKA dan TADIKA.

 

Ia dimulakan pada awal tahun 2018. Projek perintis adalah di TADIKA RAUDHATUL AULAD dan TASKA AULAD CERIA (sekarang dikenali sebagai Greeniekids Childcare Centre)  di Seksyen 8, Bandar Baru Bangi.

 

Kenapa Program Greeniekids bagus kepada kanak-kanak?

Pertama: “Fun Learning” 3E (Explore, Experience, Experiment)

Program Greeniekids dibina dengan aktiviti-aktiviti yang memberangsangkan minat kanak-kanak belajar dan ke TADIKA. Hati kanak-kanak perlu ditawan terlebih dahulu. Beri keseronokan yang berlipat kali ganda. Pembelajaran mudah berlaku apabila hadir perasaan seronok.

 

Keterujaan mereka dapat dilihat pada perubahan sikap semasa pembelajaran dijalankan. Mereka menguasai dengan baik aktiviti yang dijalankan, terutamanya aktiviti sains dan matematik. Apa tidaknya. Mereka melalui sendiri penerokaan dan pengalaman pada aktiviti yang dijalankan.

 

Aktiviti pembelajaran dirancang bersesuaian dengan kebolehan dan kemampuan kanak-kanak. Contohnya, aktiviti belon mengembang. Belon mengembang apabila campuran cuka dan serbuk soda bikarbonat dilarutkan. Saiz belon ditentukan oleh sukatan dan campuran cuka dan soda bikarbonat.

 

Kanak-kanak diberi peluang untuk melakukan sendiri eksperimen tersebut. Dengan bimbingan guru, langkah-langkah keselamatan perlu dipatuhi. Kemudian, guru akan memberitahu keputusan eksperimen kenapa belon mengembang dan faktor saiz belon mengembang.

 

Kedua: Tunjang Program Greeniekids

  •  3I (Islam, Iman, Ihsan)

Islam, Iman dan Ihsan tidak boleh dipisahkan dalam kehidupan orang Islam. Ia berkait rapat di antara satu sama lain.

 

i) Islam

إِنَّ ٱلدِّينَ عِندَ ٱللَّهِ ٱلۡإِسۡلَٰمُۗ

“Sesungguhnya agama yang benar di sisi Allah hanyalah Islam.” 

(Ali Imran: 19)

Islam agama sejagat bagi semua penghuni dunia. Kita mendokong langit yang sama, juga menapak pada bumi yang sama, serta menghirup udara percuma. Semua adalah milik Allah s.w.t.

 

Tidak terkira! Semuanya adalah milik-Nya. Islam membawa kesejahteraan dan keselamatan kepada umat manusia. Membebaskan manusia daripada penghambaan. Memuliakan wanita daripada kekejaman rakusan lelaki.

 

Secara umumnya, Islam telah mengangkat darjat persamaan lelaki dan perempuan dari segi ibadat dan ketakwaan di sisi-Nya.

ii) Iman

 

iii) Ihsan

Ihsan adalah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah kamu melihat-Nya, jika kamu tidak dapat melihatnya, maka sesungguhnya dia sedang melihat kamu.

-Hadith iwayat Abu Hurairah

 

Penerapan akidah ini disampaikan kepada kanak-kanak bahawa segala ibadat yang dilaksanakan hanya tertumpu kepada Allah s.w.t sahaja. Tidak tertumpu kepada orang atau perkara selain daripada-Nya.

 

Untuk melahirkan rasa ikhlas dalam ibadat, perlu kenal Allah Yang Maha Esa terlebih dahulu melalui sifat-sfiat-Nya. Barulah perasaan cinta kepada Allah s.w.t dapat dipupuk ke dalam hati.

 

Perasaan cinta ini sebaiknya diserap pada awal perkembangan kanak-kanak. Keadaan mereka sangat suci dan bersih. Masih belum dinodai dengan ‘kekotoran bendasing’ yang senang dilihat dan didengar.

 

Kemudian, perasaan cinta ini dihadirkan dengan takwa. Takwa dirujuk kepada perasaan takut dan kerdil apabila berhadapan dengan kekuatan dan kasih sayang Allah.

 

Kesempurnaan ibadat itu susah untuk dicapai. Tetapi, amalan yang didahului dengan ilmu dan diikuti dengan selalu dilakukan akan menjadi tabiat atau rutin. Oleh itu, ia adalah masa yang sesuai untuk dimulakan. ‘Yang luar biasa itu adalah daripada yang biasa dan selalu dibiasa-biasakan.’

 

Ketiga: Mudah Baca

A001

Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk).

(al-‘Alaq: 1)

 

Ayat di atas merupakan wahyu yang pertama diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W. di gua Hira’.

 

Di atas kepentingan ayat ini di sisi Allah S.W.T, Greeniekids Group Sdn Bhd mengambil inisiatif dengan memfokuskan kepada ‘pandai baca’ di kalangan anak-anak. Ia dibangunkan bagi membangkitkan minat membaca di kalangan kanak-kanak seawal usia. Medium bacaan adalah terdiri daripada bahan bacaan bahasa Melayu dan Inggeris.

 

Setiap hari kanak-kanak diberi peluang memilih mana-mana buku yang disediakan untuk dibaca. Sejarah pendidikan di TADIKA Raudhatul Aulad, kanak-kanak lima tahun sudah boleh membaca buku cerita pendek.

 

3 tahun

  • Kaedah ‘phonic’ dan pengalaman sebut dan bunyi diperkenalkan.
  • Aktiviti-aktiviti ‘fun learning’ disusun bagi membolehkan kanak-kanak lebih teruja ‘berkenalan’, dapat ingat dan sebut abjad-abjad yang dipelajari.
  • Pada suku tahun ketiga, mereka sudah mampu menulis abjad.
  • Penilaian akan dibuat. Sekiranya mereka telah bersedia, bacaan buku asas dimulakan.

 

4 tahun

  • Kanak-kanak disasarkan dapat menguasai sekurang-kurangnya empat buku asas.

 

5 tahun

  • Pada suku tahun ketiga, kanak-kanak dapat menguasai tiga buku asas dan bersedia membaca buku cerita pada suku tahun keempat.

 

6 tahun

  • Mereka sudah mampu membaca buku-buku cerita kanak-kanak yang disediakan.
  • Mereka sudah boleh menceritakan semula apa yang mereka baca kepada guru dan rakan-rakan.

 

Kunci kejayaan dalam pembelajaran adalah melalui bacaan. Ilmu itu perlu digali melalui pembacaan.

 

Keempat: Latihan Solat Fardhu dan Sunat Dhuha

Solat merupakan amalan yang berkurun lamanya, diperintahkan Allah s.w.t kepada hambanya. Perintahan ini berlangsung sehingga kerasulan Nabi Muhammad s.a.w.

 

Bukti-bukti Allah memerintahkan hambanya melaksanakan solat telah jelas diterangkan di dalam al-Quran:

 

i) Kepada Nabi Ibrahim a.s

  • Nabi Ibrahim a.s berdoa kepada Allah untuk diri dan zuriatnya supaya mendirikan solat.
  • A040

“Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku”.

(Ibrahim: 40)

 

ii) Kepada Nabi Ismail

  • A055

“Dan adalah ia menyuruh keluarganya mengerjakan sembahyang dan memberi zakat, dan ia pula adalah seorang yang diredhai di sisi Tuhannya!”

(Maryam: 55)

 

iii) Kepada Nabi Isa a.s

  • A031

“Dan Ia menjadikan daku seorang yang berkat di mana sahaja aku berada, dan diperintahkan daku mengerjakan sembahyang dan memberi zakat selagi aku hidup”.

(Maryam: 31)

 

iv) Kepada Nabi Musa a.s

  • A014

“Sesungguhnya Akulah Allah; tiada tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku”.

(Toha: 14)

Ini membuktikan bahawa kepentingan solat dalam kehidupan manusia.

 

Solat adalah tunggak segala urusan dalam Islam. Ia merupakan amalan pertama yang akan dihisab oleh Allah s.w.t. Baik buruk akhlak seseorang itu adalah melalui kesempurnaan solatnya.

 

Selagi mana seorang menjaga solatnya, maka perhatian Allah s.w.t selalu tercurah kepadanya. Sebaliknya akan berlaku jika melalaikan solat. Perhatian Allah akan terlepas darinya. Di atas kesedaran ini, program Greeniekids dibina dan dibangunkan bagi menjadikan kanak-kanak seawal usia terbiasa dengan memelihara solatnya.

 

Latihan solat diadakan secara berjemaah. Kepentingan solat berjemaah Selain daripada hafazan ayat-ayat suci al-Quran dan doa-doa terpilih, kanak-kanak juga menghafal bacaan di dalam solat fardhu dan sunat.

 

Kanak-kanak lelaki diberi peluang menjadi imam kepada kanak-kanak yang lain. Ini merupakan salah satu daripada modul kepimpinan yang digarapkan di dalam program Greeniekids.

 

Fokus amalan harian:

  1. Kelima-lima solat fardhu dijadualkan mengikut harian
  2. Solat sunat Dhuha
  3. Kesempurnaan mengambil wudhu’ juga diber perhatian.
  4. 13 rukun sah solat dipraktikkan dalam amali solat.

 

Kelima: Hafazan

Kenapa pentingnya hafazan al-Quran? Antara kelebihan menghafal al-Quran adalah seperti berikut:

 

i) Fardhu Kifayah

Badruddin Zarkasyi mengatakan: “Sahabat-sahabat kami mengatakan, belajar al-Quran itu hukumnya fardhu kifayah. Dan kegiatan menghafalkannya adalah wajib ke atas umat ini.”

 

Fardhu kifayah ialah perkara yg wajib dilaksanakan oleh sebahagian dari anggota masyarakat. Jika tidak ada yang melaksanakannya, semuanya akan berdosa.

 

ii) Mengagungkan Allah S.W.T

Daripada Abu Musa al-Asya’ri radiyallahuanhu berkata: Rasulullah s.a.w bersabda:

Di antara bentuk mengagungkan Allah adalah memuliakan orang tua yang muslim, memuliakan penghafal al-Quran yang taat dan menghormati setiap pemimpin yang adil.

-Hadith Riwayat Abu Daud

 

iii) Menjadi Manusia yang Istimewa Allah S.W.T

Daripada Anas r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda:

Sesungguhnya Allah itu mempunyai keluarga yang terdiri daripada manusia. Kemudian Anas bertanya: Siapakah mereka itu wahai Rasulullah? Baginda menjawab: “Iaitu ahli Al-Quran (orang yang membaca atau menghafal al-Quran dan mengamalkan isinya). Merekalah keluarga Allah dan orang yang istimewa bagi Allah”.

-Riwayat lbn Majah

 

iv) Memberi Syafaat kepada Ahli Keluarganya

Sabda Nabi Muhammada s.a.w:

Sesiapa membaca al-Quran dan menghafalnya, maka Allah akan memasukkannya ke dalam syurga dan memberikannya hak syafaat untuk 10 orang anggota keluarganya yang mereka semuanya telah ditetapkan untuk masuk neraka”.

-Riwayat al-Tirmizi dan al-Nasa’i

 

v) Bank Kebaikan

Sabda Nabi Muhammada s.a.w:

Barangsiapa yang membaca satu ayat dalam al-Quran maka baginya satu kebaikan. Dan setiap kebaikan akan dibalas dengan sepuluh kali. Aku tidak mengatakan alif laam miim itu satu huruf. Tapi alif satu huruf, laam satu huruf dan miim satu huruf.

-Hadith Riwayat al-Tirmizi

 

vi) Berada di dalam Syurga yang Paling Tertinggi

Daripada Aisyah r.a, sabda Nabi Muhammada s.a.w:

Jumlah tingkatan syurga sama dengan jumlah ayat-ayat al-Quran. Maka tingkatan syurga yang dimasuki oleh penghafal al-Quran ialah tingkat yang paling atas, tidak ada tingkat lagi sesudah itu.

-Riwayat al-Baihaqi dan al-Hakim

 

Banyak lagi bukti-bukti kelebihan menghafal ayat-ayat suci al-Quran. Betapa pentingnya ia dijaga sebaik-baiknya, di mana ia membawa manfaat kepada umat manusia itu sendiri.

 

Program Greeniekids membuka peluang kepada kanak-kanak seawal usia. Modul hafazan terbahagi kepada dua kategori, ayat-ayat suci al-Quran dan doa-doa terpilih. Hafazan dimulakan dengan ayat dan doa yang mudah dan biasa terlebih dahulu.

 

Kebiasaannya, kanak-kanak mendengar rakaman dipasang setiap hari. “Membiasakan pada perkara yang tidak biasa itu adalah lebih baik supaya ia menjadi terbiasa”.

 

Sebutan dan bacaan akan dibuat setiap hari secara individu dan berkumpulan. Kemudian, penilaian dibuat setiap tiga bulan sekali dan direkodkan. Ia sebagai rujukan guru dan ibu bapa sepanjang pembelajaran bersama dengan TASKA atau TADIKA tersebut.

 

Keenam: 10 Muwasafat Tarbiyyah

10 penekanan kepada pendidikan kanak-kanak yang dimuatkan ke dalam silibus pendidikan Program Greeniekids ialah:

  1. Akidah yang betul
  2. Ibadah yang sahih
  3. Akhlak yang mantap
  4. Mampu berdikari
  5. Luas pengetahuan
  6. Tubuh badan yang sihat
  7. Melawan hawa nafsu
  8. Tersusun urusan
  9. Menjaga masa
  10. Bermanfaat kepada orang lain

 

Ketujuh: Aktiviti Bersama Ibu Bapa

Di samping aktiviti yang menyeronokkan, program Greeniekids juga membangunkan aktiviti bersama ibu bapa. Ia penting untuk mempupuk hubungan dan komunikasi dua hala dengan pihak TADIKA.

 

Setiap bulan, ibu bapa dijemput hadir ke TADIKA untuk memberi galakan pembelajaran kepada anak mereka. Kehadiran ibu bapa ke TADIKA mencipta suasana yang mesra pelanggan. Bahkan, anak mereka akan berasa tidak terasing berada di TADIKA.

 

Penglibatan ibu bapa menjadi tunggak kepada kualiti pendidikan. Ibu bapa merupakan pihak yang diperlukan untuk mendapatkan respon kualiti pendidikan yang dilangsungkan. Kami bersedia mendengar apa-apa komen dan cadangan dalam memperbaiki sistem pembelajaran yang berkualiti.

 

Pada satu tempoh yang ditetapkan, kami menilai penglibatan ibu bapa dengan akitiviti yang dirancang sepanjang tahun. Keterlibatan mereka akan dianugerahi dalam acara akhir tahun. Ia merupakan penghormatan yang bernilai kepada kami dan anak-anak yang kami didik.

 

Kelapan: Rumah Kedua

TADIKA/TASKA merupakan pilihan rumah kedua kepada anak-anak kita bagi ibu bapa yang bekerja. Masa tiba adalah seawal jam 6.30 pagi dan masa pulang sekitar jam 6.30 – 8.00 malam. Mengikut kiraan ini, ibu bapa bersama anak mereka maksima 10 hingga 12 jam sehari. Jumlah ini tidak ditolak dengan waktu tidur anak-anak dan ibu atau bapa.

 

Pada keesokkan harinya, ia akan berulang lagi. Tahu-tahu, dah nak masuk tahun baru. Anak terus membesar tanpa sebarang ucapan, “Hai mak! Saya dah besar.” Inilah realiti bagi mereka yang bekerja. Tidak cukup masa untuk membelai dan memerhati tumbesaran anak-anak dengan baik.

 

Maka, tanggungjawab ini dialihkan kepada guru-guru atau pengasuh di TADIKA/TASKA. Namun, biarlah mereka yang tahu mengurus anak-anak kita dengan guru atau pengasuh yang berkemahiran.

 

Perlu diambilkira faktor ‘perkhidmatan murah’. Mesti ada sebab kenapa harga itu ‘murah atau mahal’. Sangat subjektif kenapa ia murah atau mahal bagi seseorang itu bukan?.

 

Banyak pilihan diluar sana. Namun begitu, apa yang perlu difokuskan di sini ialah apakah perkhidmatan TADIKA atau TASKA ini tawarkan? (Perbezaan TADIKA dan TASKA)

 

Ibu bapa perlu bijak menilai pada perkara ini. Ia berkenaan masa depan anak-anak kita. Orang pertama yang mengambil alih tugas seorang ‘ibu’. Perlulah orang yang betul dan tepat, bukan?

“Biar menang pada harga. Jangan kalah pada perkhidmatan.”

 

Kesembilan: Pentaksiran dan Penilaian Kanak-Kanak

Tumbesaran dan perkembangan kanak-kanak berlaku setiap hari. Ada perubahan yang berlaku itu tidak pun kita sedari.

 

Ia penting kerana dapat mengesan perkembangan kanak-kanak dan mengenalpasti pelbagai potensi mereka secara menyeluruh. Ia juga menjadi asas kepada laporan yang perlu diserahkan kepada ibu bapa. Guru dan ibu bapa akan berbincang kemajuan yang telah dicapai oleh anak mereka. Apa tindakan selanjutkan untuk persediaan kanak-kanak bagi meningkatkan potensi yang ada atau sebaliknya.

 

Di TADIKA/TASKA ia direkodkan. Pemerhatian ini dilihat dalam pelbagai cara, iaitu secara formal dan tidak formal. Saranan akan dibuat kepada ibu bapa melalui data dan maklumat yang direkodkan. Contohnya, kanak-kanak mempunyai potensi dalam aktiviti fizikal- berlari dengan tangkas. Guru akan mencadangkan ibu bapa melibatkan aktiviti sukan atau olahraga. Minat kanak-kanak selalunya seiring dengan kebolehan yang ditonjolkan.

 

Kesepuluh: Aktiviti Sokongan

Satu sesi riadah disediakan bagi kanak-kanak yang suka kepada aktiviti lasak.  Ini membolehkan mereka terus aktif dan meluahkan perasaan yang dipendam melalui seni mempertahankan diri, Taekwondo. Ibu bapa diberi pilihan.

 

Taekwondo dapat melatih kanak-kanak:

i) Bela Diri

Taekwondo ialah seni mempertahankan diri. Jangan disalahertikan dengan keganasan bagi kanak-kanak. Ia dipelajari bukan untuk menjadi seorang yang ganas, tetapi untuk mempertahankan diri mereka.

 

Kanak-kanak diajar dengan disiplin tinggi menggunakan kemahiran yang dipelajari. Ia bukan sebarang serangan terhadap kawan-kawan mereka atau sesiapa sahaja. Sebaliknya, ia diajar untuk mengawal perasaan supaya bertindak pada keadaan yang diperlukan sahaja.

 

Aktiviti yang mengeluarkan peluh ini masih sesuai walau pun zaman terus beredar. Keganasan berlaku kepada sesiapa sahaja dan di mana-mana sahaja. Persediaan itu adalah terbaik kepada kanak-kanak yang berminat dengan ‘martial art’ ini.

 

ii) Pembelajaran menyeluruh

Di dalam latihan Taekwondo, pergerakan fizikal amat penting. Namun begitu, beberapa anggota badan yang lain turut terlibat serentak semasa latihan aktiviti dilakukan. Ketangkasan diuji!

  • Pendengaran – fokus dan mendengar arahan daripada jurulatih.
  • Kordinasi mata – melihat pergerakan lawan dengan pantas.
  • Kognitif – ketangkasan mental untuk menumpaskan lawan.
  • Keseimbangan fizikal – menendang, melompat, menumbuk, melompat.

 

iii) Memantau pergaulan dengan kawan-kawan

Gajet, permainan video dan komputer, dan televisyen merupakan alatan yang tidak asing kepada kanak-kanak. Alatan ini adalah ‘pembunuh senyap’ keinginan kanak-kanak dalam pergaulan.

 

Daripada membiarkan mereka membuang masa tanpa pengisian bermanfaat, ada baiknya peruntukan masa sejam-sejam setengah seminggu mereka bergaul dengan anak-anak yang mempunyai misi yang sama.

 

Biarkan mereka menggunakan ‘bahasa yang sama’, cita-cita yang sama untuk mendapatkan warna tali pinggang, dan berkongsi cerita pengalaman latihan mereka. Sebagai ibu bapa, kita dapat memantau tumbesar mereka. Sekali sekala boleh juga dipantau melalui jurulatih.

“EDUCATION STARTS HERE”