fbpx

7 tips memilih taska terbaik untuk si kecil anda!

“Tak lama lagi nak masukkan anak ke taska. Tapi banyak sangat taska sekarang ni, sampai tak tahu nak pilih yang mana satu. Apa agaknya tips memilih taska terbaik untuk anak ni ye?”

Sepertimana yang kita dapat lihat kini, semakin hari semakin banyak taska, tadika mahu pun pusat asuhan dibuka. Ianya membolehkan ibu bapa menghantar anak mereka ke sana bagi menimba ilmu pengetahuan dan pengalaman baru serta mendedahkan anak kepada dunia luar.

Namun, taska, tadika atau pusat asuhan yang bagaimanakah menjadi pilihan anda? Selain daripada faktor yuran dan lokasi, apakah faktor-faktor lain yang perlu diambil kira dalam memilih taska, tadika, atau pusat asuhan terbaik untuk anak anda? Adakah berbaloi untuk anda melaburkan sekian wang ringgit untuk menghantar anak ke sana kelak?

7 tips memilih taska terbaik untuk si kecil anda!

Berikut merupakan 7 tips dalam memilih taska permata terbaik untuk anak sepertimana yang dikongsikan oleh Puan Syahida Shahari melalui laman Facebook peribadi beliau.

Semoga garis panduan ini bermanfaat buat kita sebagai ibu bapa yang mungkin terlupa atau terlepas pandang dan sedang dalam dilema untuk membuat pilihan taska permata terbaik untuk anak.

1. MATLAMAT UTAMA

Ingat semula matlamat utama kita dalam pembentukan keluarga yang dibina ini. Matlamat ‘rumahku syurgaku’ yang telah ditetapkan ini perlu selari dengan matlamat taska, tadika atau pusat asuhan pilihan.

Persoalan apakah hasil apabila kita menghantar anak ke sana dan anak yang bagaimana yang kita inginkan apabila mereka dewasa kelak, seharusnya terjawab sebelum kita membuat pilihan.

2. PEMIKIRAN DAN NILAI YANG DITERAPKAN

Nilai-nilai dan pemikiran yang diterapkan oleh guru-guru di taska permata, tadika atau pusat asuhan seharusnya tidak jauh beza dengan apa yang diterapkan oleh ibu bapa di rumah. Perkara ini sangat penting bagi mengelakkan konflik dalaman anak itu sendiri dek nilai dan pemikiran yang berbeza di rumah dan juga taska permata.

Anak dalam usia sebegini sememangnya menjadi pencerap dan perilaku yang sangat baik terhadap perkara yang berlaku di sekelilingnya. Kelak apabila anak dapat membezakan perkara yang baik dan buruk, pemikiran dan nilai yang diterapkan itu akan membentuk jati diri yang kukuh dalam diri anak dan anak akan lebih tegas serta matang dalam menjalani kehidupan sehariannya.

3. PEMAKANAN

Mungkin ada antara kita sebagai ibu bapa yang bersikap longgar dan tidak kisah akan hal-hal yang melibatkan pemakanan anak. Apa yang penting, anak tidak lapar dan sentiasa kenyang dengan makanan yang dimakan. Namun, ketahuilah bahawa pemakanan anak adalah sangat penting dalam pembentukan diri mereka. Minda yang cerdas dan badan yang cergas datang daripada pemakanan yang sihat.

Oleh itu, pastikan prosedur pemilihan makanan di taska, tadika atau pusat asuhan tersebut menitikberatkan makanan yang bukan sahaja menyihatkan, malah halal dan suci.

4. PERGAULAN

Pergaulan kanak-kanak di taska, tadika atau pusat asuhan bukan sahaja melibatkan hubungan sosial antara anak lelaki dan anak perempuan, tetapi ianya juga melibatkan bab aurat, pemakaian anak, pengurusan waktu mandi, tempat tidur serta tempat persalinan pakaian anak.

  • Adakah pergaulan anak sesama jantina yang berbeza sentiasa dikawal atau tiada batasan?
  • Adakah aurat anak akan terjaga apabila berada di sana?
  • Adakah ketika waktu anak perempuan mandi, mereka dapat mandi tanpa gangguan anak lelaki, atau sebaliknya?
  • Bagaimana pula dengan tempat persalinan pakaian serta tempat tidur anak lelaki dan anak perempuan? Adakah pihak taska menyediakan tempat yang sama atau diasingkan biliknya?

Mungkin sesetengah ibu bapa akan mengabaikan faktor ini kerana memikirkan bahawa anak masih kecil dan tidak tahu apa-apa. Namun, kerana mereka masih kecillah kita perlu tegas mendidik mereka dengan konsep yang betul agar pergaulan mereka sentiasa terpelihara.

5. KONSEP PENGAJARAN & PEMBELAJARAN

Konsep pengajaran dan pembelajaran juga turut membezakan sesebuah taska, tadika atau pusat asuhan. Sesetengah taska sangat mementingkan bidang akademik dan pembelajaran pelbagai bahasa sebagai perkara utama. Terdapat juga taska yang bukan sahaja mementingkan bidang akademik, malah turut menyediakan pelbagai aktiviti bermain sambil belajar, menekankan konsep kemahiran kanak-kanak dan keagamaan dalam intipati pembelajaran kanak-kanak di sana.

Jadi, taska, tadika atau pusat asuhan yang mana satu menjadi pilihan hati kita? Tepuk dada, tanya selera.

6. NISBAH GURU DAN MURID

Nisbah guru dan murid di sesebuah taska, tadika atau pusat asuhan juga perlu diambil perhatian. Sekiranya terdapat terlalu ramai murid tetapi bilangan gurunya sangat sedikit dan tidak bersesuaian dengan bilangan murid, berkemungkinan besar anak kita akan mendapat kurang perhatian dalam proses pengurusan diri mereka dan pembelajarannya kelak.

Sehubungan itu, pilih taska yang mempunyai nisbah guru dan murid yang bersesuaian agar kebajikan anak sentiasa terjaga dan pembelajaran anak lebih memuaskan.

7. TASKA BERDAFTAR

Pastikan taska yang akan dipilih berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) agar sekiranya berlaku sebarang perkara yang kurang memuaskan, urusan untuk menyelesaikan perkara tersebut lebih terjamin.

Senarai lengkap taska berdaftar boleh dirujuk melalui pautan ini : http://www.jkm.gov.my

SOLAT ISTIKHARAH DAN SOLAT HAJAT

Dalam usaha mempertimbangkan pelbagai perkara untuk memilih taska, tadika atau pusat asuhan, luangkan masa kita untuk solat istikharah dan solat hajat. Pasakkan niat di hati agar kita tetap istiqamah dalam kebaikan walau apa jua yang kita lakukan. Berdoa dan mohon bantuan daripada Allah agar kita tidak terlupa untuk mempertimbangkan perkara-perkara penting dan diberi petunjuk dalam membuat keputusan.

Apabila terbit rasa ketenangan dalam membuat sesuatu pilihan, tawakal kepada Allah dan yakinlah bahawa itu merupakan jawapan daripada Allah bagi memilih taska, tadika atau pusat asuhan terbaik buat anak. Semoga anak kita sentiasa berada di bawah perlindungan dan rahmat Allah S.W.T walau di mana jua mereka berada.

 

*Sumber asal tips pemilihan taska, tadika dan pusat asuhan ini dikongsikan oleh Puan Syahida Shahari melalui laman Facebook peribadinya dan diterbitkan semula dengan kebenaran beliau.

Add your thoughts

Your email address will not be published. Required fields are marked *